SAYA anggap KAFA dan TRW milik Kelantan dan rakyatnya. Mereka berhak tahu segala hal dan masalah yang ada.
Ramai yang hanya tunggu untuk saat-saat bersorak dan ramai yang berebut untuk tumpang meraikan kejayaan. Jadi, biarlah ramai juga tahu betapa sukarnya mencipta kejayaan itu. Saya akan terus menyalurkan informasi yang terkini dan sahih kepada rakan-rakan yang ikhlas di dalam "Facebook" saya.
Anda berhak tahu.
Bulan November 2010, Disember 2010 dan Januari 2011 KAFA tiada pendapatan tetapi pembayaran gaji, bonus dan "signing fee" yang berjumlah kira-kira RM1.2 juta terpaksa juga dibayar. Untuk pendaftaran pasukan bagi Musim 2011, RM300 ribu diperlukan sebagai deposit sementara RM2.5 juta pula untuk jaminan.
Sebagi rakyat dan NGO Kelantan, kepada siapa lagi perlu saya minta bantuan jika bukan kerajaan negeri? Politikkah itu? Setiap tahun saya buat permohonan, baik kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS dan juga kerajaan pusat Barisan Nasional. Beri atau tidak, ia perkara lain.
Kepada kerajaan pusat saya mohon geran untuk TRW dan geran untuk pembangunan bakat muda (grassroot), kira-kira RM2 juta setahun, setiap tahun sejak 2008. Dengan kerajaan negeri pula, saya mohon RM1-2 juta, beserta beberapa rayuan lain seperti penurunan kadar levi, menghapuskan cukai hiburan ke atas sukan bolasepak dan supaya kerajaan negeri melalui PSK menjalankan kerja-kerja penyenggaraan stadium dan padang dengan lebih baik.
Keperluan-keperluan yang lain KAFA akan usahakan sendiri dengan sokongan penyokong-penyokong kita.
Unjuran perbelanjaan KAFA adalah kira-kira RM5-6 juta setahun, meliputi gaji kakitangan, bantuan kepada Persatuan Bolasepak Jajahan, kos pengurusan pasukan Piala Presiden dan pertandingan futsal negeri, liga daerah, kejohanan kelab/Kijang Muda dan Akademi Kijang Mas.
Manakala unjuran pendapatan melalui bajet tahunan KAFA pula adalah perolehan daripada sumbangan kerajaan pusat RM1 juta, sumbangan kerajaan negeri RM1 juta, hasil jualan tiket RM2 juta, tajaan dan lain-lain RM2 juta.
Untuk 2 tahun pertama, hasil jualan tiket tidak mencapai sasaran. Walaupun penonton memenuhi stadium, oleh kerana Caj untuk cukai dan levi kira-kira 25%, levi FAM dan pengurusan 25%, bonus "home match" dan "away match", akhirnya KAFA cuma beroleh RM4/penonton sahaja.
Oleh kerana itu, pada tahun 2010 KAFA menaikkan harga tiket untuk menampung bayaran levi dan cukai berkenaan. Andainya kadar levi dan cukai diturunkan kepada 10%, KAFA akan menurunkan semula harga tiket.
Musim 2010 dianggarkan berjaya menarik kehadiran kira-kira 270 ribu penonton, dengan nilai kasar kutipan RM3.7 juta, dan KAFA memperolehi pendapatan bersih RM1 juta.
Sumber :
FB TSAM 3 Jan 2010. Angka-angka adalah seperti yang dinyatakan di dalam tulisan FB TSAM.
Diolah untuk terbitan semula oleh : Amierul
Tiada ulasan:
Catat Ulasan