Anda boleh mendapatkan embed radio MY FM di sini, utk diletakkan di blog masing-masing

DIARI TRW


PELANCARAN RED WARRIORS HAPPY SPECIAL PREPAID PACK DAN COLLECTABLES
6 APRIL 2011 l 2 PETANG l KB MALL

MINI KARNIVAL HAPPY DAN PEMILIHAN PELATIH ARMY

SABTU l 9 APRIL 2011 l KOTA BHARU



Memaparkan catatan dengan label Petikkan Akhbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petikkan Akhbar. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Januari 2011

Logo Baru Liga M

Logo baru Liga M dilancar Rabu



BAYANGAN logo baru Liga M yang akan dilancarkan Rabu ini.




REKA bentuk logo baru saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2011 hanya akan didedahkan secara rasmi pada Rabu ini, tiga hari sebelum sepak mula Liga Super pada Sabtu depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, pelancaran logo itu akan dibuat ketika sesi taklimat pasukan berlangsung, Rabu ini.
"Pada 26 Januari ini (Rabu) kita akan adakan satu perjumpaan dengan wakil semua pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk sesi taklimat berhubung peraturan dan perjalanan Liga M musim ini.
"Logo baru Liga Super dan Liga Perdana juga akan kita perkenalkan pada hari tersebut. Saya rasa masih sempat untuk setiap pasukan tampal terus patch logo tersebut di jersi masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya tentang beberapa contoh reka bentuk dikatakan logo baru Liga M 2011 yang tersebar di laman sosial Facebook dan laman web kelab-kelab penyokong bola sepak tempatan sejak beberapa minggu lalu, Annuar berkata, ia merupakan antara reka bentuk cadangan.
"Memang ia merupakan antara sample logo untuk kita muktamadkan. Kita juga melihat reaksi dan komen peminat tentang logo-logo tersebut. Apa pun logo rasmi yang dipilih akan didedahkan Rabu ini.
"Tentang siapa pula title sponsor untuk Liga M 2011, itu terpulang kepada Astro untuk mengumumkannya," jelas Annuar.
Astro menjadi rakan penaja baru Liga M selama empat musim dari 2011 hingga 2014 menggantikan Telekom Malaysia Berhad (TM), penaja utama Liga M selama tujuh musim dari 2004 hingga 2010.
Bagaimanapun kontrak FAM bersama TM hanya akan berakhir pada Rabu ini dan atas sebab itulah FAM hanya boleh mengumumkan title sponsor baru selepas tarikh tersebut.
Saingan Liga Super bermula 29 Januari ini dengan tujuh perlawanan menyaksikan Selangor bertemu Kelantan di Shah Alam, Terengganu bertemu Sabah, Kuala Lumpur bertemu Perak, Johor FC bertemu Felda United, Kedah bertemu T-Team, Negeri Sembilan bertemu Harimau Muda A dan Pahang bertemu Perlis.
Liga Perdana pula bermula 31 Januari membabitkan lima perlawanan iaitu USM bertemu PDRM, ATM bertemu MP Muar, PKNS bertemu Sime Darby, Johor bertemu Pos Malaysia dan Pulau Pinang bertemu Sarawak manakala aksi Harimau Muda B bertemu SDM Navy berlangsung sehari selepas itu

Isnin, 17 Januari 2011

Isu Lampu Stadium:Hamidin Jawab Kritikan Jamal Nasir

'Arahan sejak tiga bulan lalu'
Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/17

Hamidin anggap masalah tidak timbul mengenai isu lampu stadium 

“SUDAH bincang tiga bulan dulu!” Itu jawapan diberi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai arahan bermain pada sebelah petang kepada enam pasukan Liga Super dan lapan pasukan Liga Perdana“Saya rasa tiada masalah timbul berkenaan arahan menaik taraf gelanggang perlawanan sebelum liga bermula musim ini. Kami sudah berbincang dengan semua persatuan dan kelab sejak tiga bulan lalu dan mereka memahami serta bersetuju dengan arahan ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

“Kerja menaik taraf lampu stadium sehingga melepasi tahap piawaian 800 lux dan memperbaiki rumput di padang (Kelantan dan Terengganu), sedang giat dijalankan. Walaupun sudah melepasi tempoh 15 hari sebelum pertandingan, JKPT tetap akan memberi pelepasan jika piawaian dipenuhi. 

“Minggu depan, kami akan menghantar pegawai-pegawai ke setiap gelanggang bermasalah untuk memeriksa semula keadaan lampu dan padang, jika didapati memenuhi piawaian ditetapkan, perlawanan boleh diadakan semula pada sebelah malam.” 

Menurut Hamidin, arahan ini untuk kebaikan persatuan atau kelab itu juga. “Jika setiap negeri mempunyai gelanggang yang memenuhi piawaian, mudah bagi mereka sekiranya terpilih menganjurkan perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya. 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi JKPT mengeluarkan arahan perlawanan di gelanggang Sabah, Perak, Johor FC, Kelantan, Terengganu dan T-Team perlu diadakan di sebelah petang sekiranya lampu limpah tidak memenuhi piawaian sebelum hari pertandingan 29 Januari ini. 
Bagaimanapun arahan itu mendapat kritikan daripada bekas Naib Presiden FAM, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mendakwa arahan JKPT mustahil untuk diselesaikan memandangkan hari pertandingan sudah begitu hampir. 

Khamis, 13 Januari 2011

RTM tetap siar Liga M 2011

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

SEBAGAI memahami kehendak rakyat, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan berusaha sedaya upaya memastikan siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2011 disiarkan di saluran televisyen percuma itu.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ibrahim Yahaya, perbincangan sudah pun diadakan bersama pemegang baru hak penyiaran Liga M iaitu Astro dan dijangka akan mencapai persetujuan dalam masa terdekat.
"Para peminat bola sepak tempatan tidak perlu gusar kerana kita (RTM) tetap akan beli hak siaran untuk Liga M musim 2011 ini berdasarkan slogan 'Sukan Terbaik Hanya di RTM'.
"Melalui perbincangan baru-baru ini, kita meminta supaya kadar yang perlu dibayar RTM kepada Astro sama seperti yang kita bayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun-tahun sebelum ini.
"Segalanya kini berjalan lancar dan kita cuma hanya menunggu sebelum ia dimuktamadkan mene- rusi satu perjanjian dengan pihak Astro," katanya ketika ditemui Kosmo! di Angkasapuri, Kuala Lumpur petang semalam.
RTM sebelum ini merupakan pemegang hak penyiaran Liga M dengan nilai tajaan RM6 juta setahun tetapi pada 2 Januari lalu, FAM mengumumkan Astro sebagai pemegang baru hak tersebut dari 2011 hingga 2014 dengan nilai tajaan RM30 juta setahun.
Namun, Astro bukanlah pemegang hak ekskusif siaran langsung Liga M kerana mana-mana stesen televisyen tempatan lain tetap dibenarkan untuk membeli hak penyiaran tersebut daripada stesen televisyen satelit itu.
Ibrahim turut memberitahu, usaha mendapatkan hak penyiaran Liga M 2011 itu dibuat memandangkan RTM merupakan badan penyiaran awam yang berperanan untuk menyemarakkan budaya sukan di negara ini.
"Kita tidak memikirkan soal kewangan secara keseluruhannya tetapi lebih kepada usaha memasti- kan rakyat dapat menonton aksi sukan tanah air terutama bola sepak.
"Sebagai bukti, siaran langsung final pertama Piala Suzuki AFF 2010 di RTM berjaya mencatat 2.8 juta penonton manakala final kedua mencatat 3.8 juta penonton. Ia sekali gus membuktikan sukan terbaik hanya di RTM," tegasnya lagi.
Saingan Liga M 2011 bakal bermula 29 Januari ini dengan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di antara Selangor dan Kelantan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Rabu, 12 Januari 2011

Juara bola: Kelantan sumbang RM300,000





Salmah Mat Husain -harakahdaily  

KOTA BHARU, 12 Jan: Kerajaan Kelantan bakal menyumbang sebanyak RM300,000 sebagai meraikan dua kejayaan berasingan dalam perlawanan bola sepak tahun lalu.

Sebanyak RM200,000 akan diberikan sebagai insentif kepada pemain pasukan Red Warriors yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia 2010 dan RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan kerana kejayaan menjulang Piala Emas Raja-raja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood, berkata kerajaan negeri telah menerima surat jawapan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam.

Menurutnya,  majlis penyerahan intensif berkenaan akan diadakan sebelum perlawanan pertama tahun ini dan ianya dijangka sebelum 29 Januari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco ketika diminta mengulas berhubung intensif kerajaan negeri kepada pemain sebanyak RM200,000 yang kini masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Kafa.

Pada masa yang sama Abdul Fatah berkata mesyuarat exco hari ini memutuskan kerajaan negeri juga akan memberikan ‘hadiah’ kepada Persatuan Bola Sepak Melayu di atas kecemerlangan pasukan itu mengembalikan Piala Emas Raja-Raja kepada Kelantan.

“Jumlah yang dipersetujui sebanyak RM100,000 kepada persatuan bola sepak Melayu ,” ujarnya.

Jumaat, 7 Januari 2011

KAFA, Cardiff City jalin kerjasama




ANNUAR (tiga dari kanan) ketika melancarkan kad keahlian The Red Warriors di Kota Bharu semalam.




DALAM usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak England, Cardiff City dalam semua aspek termasuk pengurusan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, buat permulaan, pihaknya akan meminta bantuan daripada pemilik kelab England itu, Datuk Chan Tien Ghee untuk membantu mereka bentuk stadium baru KAFA.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, hubungan di antara The Red Warriors dengan pasukan yang berada di tangga kedua Divisyen 1 England itu adalah atas dasar persahabatan dan belum ada hubungan secara rasmi lagi.
“Banyak benda yang dapat dipelajari daripada pasukan profesional ini. Saya berharap suatu masa nanti KAFA boleh menghantar pegawai dan pemain untuk menimba ilmu di sana.
“Sekarang kita meminta pertolongan daripada Cardiff untuk mereka bentuk stadium kerana mereka mempunyai stadium bola sepak yang cantik biarpun kecil,” katanya.
Semalam, lebih 1,000 penyokong setia The Red Warriors membanjiri salah satu pusat beli-belah di Kota Bharu untuk melihat dengan lebih dekat pemain-pemain kesayangan mereka.
Selain dapat bertemu pemain, peminat juga dapat melihat Piala Malaysia dan Piala Suzuki AFF yang turut dipamerkan pada majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee yang turut melancarkan kad keahlian kelab The Red Warriors.
Paling istimewa anak Tian Ghee, Nicholas Chan yang berusia 18 tahun akan turut memperkuatkan skuad Kelantan musim depan dan dikatakan akan menjadi bintang baru bagi menggantikan bekas kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke T-Team.
Dalam pada itu, Datuk Tien Ghee turut membuat pengumuman mengejut apabila memberikan penajaan sebanyak RM100,000 kepada Kelantan dan berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk bertemu dengan penyerang sensasinya, Craig Bellamy.
Mengulas mengenai masalah lampu limpah, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super pada 28 Januari ini.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh FAM, kita diarahkan bermain pada sebelah petang sahaja kerana tidak memenuhi syarat-syarat lampu limpah yang ditetapkan.
“Saya difahamkan, pihak kera- jaan negeri telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan ia sedang diusahakan sekarang,” katanya.
Musim 2011 menyaksikan skuad The Red Wrriors membaris- kan sembilan muka baru iaitu K. Soley, Nurul Azuwan Roya, Wan Rohaimi Ismail, Daniel Fadly Abdullah, Khairan Ezuan Rozali, Nicolas Chan, Norhadi Ubaidillah, Muhammad Abdul Aziz Ismail dan Mohd. Khalid Jamlus.

Sabtu, 1 Januari 2011

29 Pasukan Sertai Piala FA 2011 Musim Ini


KUALA LUMPUR: Juara bertahan Negeri Sembilan mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan gelaran juara Piala FA musim ini apabila menerima undian mudah pada saingan Piala Malaysia tahun ini yang bermula pada 19 Februari depan.
Pasukan 'Hoben Jang Hoben' yang muncul juara menewaskan Kedah pada pusingan lepas, mendapat 'bye' dan kini mendapat laluan mudah ke suku akhir Piala Malaysia sama ada menentang pasukan Pos Malaysia ataupun Kuala Lumpur.
Turut mendapat 'bye' dalam perlawanan ini ialah naib juara, Kedah dan diikuti dua pasukan lagi yang kalah separuh akhir iaitu Selangor dan Terengganu pada perlawanan itu nanti.
Pada majlis rasmi undian Piala Malaysia 2011 di Dewan Perdana, Bukit Jalil dekat sini pada Sabtu, Negeri Sembilan diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan kelab Pos Malaysia, Kuala Lumpur, Johor MP Muar, Selangor PKNS, Pahang, Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak, Melaka, KL Sime Darby FC, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarawak, Pulau Pinang USM FC dan Terengganu.
Sebanyak 29 pasukan akan mengambil bahagian dengan 15 dalam pasukan A dan 14 dalam pasukan B dengan perlawanan dijalankan secara liga dua pusingan.
Undian secara terbuka ini memperlihatkan pusingan pertama, kedua dan perlawanan akhir dijalankan secara kalah mati satu pusingan manakala peringkat suku akhir dan separuh akhir pula kalah mati dua pusingan.
Undian terdiri daripada 14 pasukan negeri, 13 pasukan kelab dan baki dua pasukan dari PDRM dan ATM.
Sementara itu naib juara, Kedah pula berdepan laluan sukar untuk mengulangi ke final selepas diletakkan dalam pasukan B.
Namun begitu, Kedah akan bertemu sama ada Perlis ataupun Felda United FC sebelum betul-betul menghadapi cabaran sukar yang diletakkan bersama kumpulan dengan Kelantan, Terengganu T-Team, Kuala Lumpur Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Johor FC, Johor, Pulau Pinang, Harimau Muda A, Pulau Pinang SDM Navy, Harimau Muda B, Johor Melodi Jaya dan Selangor.
Kemuncak perlawanan akhir Piala FA akan berlangsung pada 11 Jun.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menentukan undian Liga Super dan Liga Perdana untuk musim depan.
Sebanyak 14 kumpulan dalam Liga Super manakala 12 kumpulan dalam Liga Perdana.
Felda United dan Sabah yang masing-masing merupakan juara dan naib juara Liga Perdana musim lepas kini layak bermain untuk Liga Super.
Bagaimanapun tarikh bermula Liga Super dan Liga Perdana masih belum diputuskan dan akan ditentukan selepas perlawanan Piala Sumbangsih yang kini dikenali Piala Sultan Ahmad Shah 2011 antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 29 Januari ini.
Undian Liga Super:
Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, KL Felda United FC, Perlis, Pahang, Harimau Muda A, Kedah, Terengganu T-Team, Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Johor FC dan Sabah.
Undian Liga Perdana:
PDRM, Sarawak, Johor, Johor MP Muar, KL Pos Malaysia, Harimau Muda B, ATM, Selangor PKNS, KL Sime Darby FC, Pulau Pinang SDM Navy, Pulau Pinang dan Pulau Pinang USM.-BERNAMA

Khamis, 16 Disember 2010

Insentif: Kafa membisu, pemain gelisah

harakahdaily
KOTA BHARU, 16 Dis: Selepas lebih dua minggu kerajaan mengumumkan memberi insentif RM200,000 kepada pemain Red Warriors di atas kejayaan menjulang Piala Malaysia, namun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih membisu.

Sedangkan beberapa pemain meluahkan rasa tidak senang hati di atas tindakan Kafa tersebut.
Antaranya bekas pemain Akmal Rizal Rakhli mendedahkan kepada media, Kafa tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia.

Ekoran itu beliau dan beberapa pemain lain mengambil keputusan meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, sehingga hari ini Kafa belum menghantar sebarang surat jawapan terhadap tawaran insentif kerajaan negeri kepada pemain ekoran kejayaan merangkul Piala Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri telah mengumumkan insentif sebanyak RM200,000 diberi kepada pemain yang berjaya menjulang imej Kelantan apabila menggondol piala tersebut.

”Sehingga ke hari ini surat tawaran dari kerajaan yang dihantar kepada pihak pengurusan Kafa tidak dijawab bagi membolehkan satu majlis diadakan untuk memberi insentif kepada pemain.
”Kita memberi peluang untuk mereka menentukan tarikh yang sesuai dan senarai pemain bagi hadir menerima insentif di Kota Darulnaim.

”Namun malangnya sehingga ke hari ini Kafa tidak menghantar sebarang surat jawapan bagi membolehkan pemain yang berusaha keras sebelum ini menerima sedikit saguhati kerajaan negeri,” katanya di sini.

Pada Ramadan lalu kerajaan negeri juga membelanjakan sebanyak RM237,000 membawa seramai 36 pemain dan pengurusan Kafa mengerjakan umrah.

Malah pada musim lepas kerajaan negeri juga melupuskan hutang Kafa sebanyak RM700,000 daripada cukai hiburan yang dikenakan.

Manakala tahun ini cukai hiburan yang sepatutnya dibayar oleh Kafa kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebanyak RM378,341 juga telah dilupuskan.

Bagaimanapun kata Abdul Fattah kesungguhan kerajaan negeri membantu pemain dan Kafa masih dipandang negatif pihak tertentu.



"GoMo KeLaTe GoMo...GoMo BeLaKo HoK  Ado"

Rabu, 8 Disember 2010

Indra,Farhan dan Azizi Mungkin Digantung FAM?

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
Fakhrul@kosmo.com.my
TIGA bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose berdepan kemungkinan digantung satu musim andai mereka didapati bersalah melanggar kontrak bersama pasukan lama mereka, Kelantan.
Indra, Farhan dan Azizi dikatakan telah menyertai pasukan T-Team untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2011 dan mereka dikatakan sudah turun menjalani latihan di Kuala Terengganu pada minggu ini.
Mereka didakwa tidak membalas notis tawaran lanjutan kontrak yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang membawa maksud pemain-pemain tersebut telah bersetuju untuk bersama Kelantan bagi musim 2011.
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain yang melanggar syarat tersebut boleh dikenakan hukuman penggantungan selama semusim.
“Notis tersebut dikeluarkan pasukan dalam tempoh tiga bulan sebelum kontrak tamat. Jika pemain mendapat tawaran pasukan lain untuk musim berikutnya, mereka perlu membalas notis itu dalam tempoh 14 hari.
“Namun jika pemain tidak balas langsung notis tersebut, maka secara automatik mereka dianggap bersetuju menyambung kontrak dan perjanjian bersama pasukan itu akan terus berkuat kuasa untuk musim berikutnya.
“Tetapi jika pemain tidak menerima notis lanjutan kontrak itu dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum kontrak tamat, barulah dia bebas untuk berpindah ke pasukan lain,” jelas Takiyuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Namun Kosmo! difahamkan, dua lagi bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke pasukan baru iaitu Akmal Rizal Rakhli (Perak) dan Hairuddin Omar (Negeri Sembilan) tidak berdepan masalah kerana mereka tidak menerima notis tawaran lanjutan kontrak daripada KAFA.
Takiyuddin memberitahu, setakat ini jawatankuasa FAM itu masih belum menerima sebarang aduan atau bantahan daripada mana-mana persatuan negeri dan kelab termasuk KAFA.
“FAM belum menerima apa-apa bantahan. Tetapi kita tidak tahu jika ada persatuan yang akan mengemukakan bantahan ini selepas tarikh akhir pendaftaran pemain musim 2011 iaitu pada 15 Disember ini.
“Jika selepas tarikh tersebut pemain yang sudah menandatangani kontrak bersama pasukan baru dan mahu berpatah balik kepada pasukan lama kerana mereka melanggar syarat tersebut, ia sudah terlambat.
“Ini merupakan peringatan penting buat semua pemain supaya bertindak mengikut peruntukan dalam kontrak sebelum mereka membuat apa-apa keputusan,” tegasnya.
Sumber lain:boleh juga membaca dihttp://www.bernama.com/bernama/v5/bm/sport.php


"GoMo KeLaTe GoMo...GoMo BeLaKo HoK  Ado"

Piala Emas Raja-Raja:PBSMM janji aksi final lancar

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

MUSIM tengkujuh yang melanda Pantai Timur ketika ini tidak akan mengganggu kelancaran perlawanan akhir kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 membabitkan pertemuan antara Kelantan dengan Kedah, Sabtu ini.

Aksi final bagi edisi ke-70 itu bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan sepak mula pada pukul 8.45 malam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak- nya telah mengarahkan supaya penggunaan stadium terbabit dihentikan sepanjang minggu ini bagi menjaga keadaan padangnya.

"Memang hujan sedang melanda Pantai Timur termasuk di Kota Bharu ketika ini tetapi kita telah mengambil langkah supaya padang di stadium berkenaan tidak teruk untuk aksi final nanti.

"Kita juga berdoa agar hujan tidak turun dengan lebat pada Sabtu ini untuk memastikan final berlangsung dalam keadaan lancar," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Ditanya mengenai pemilihan Kelantan sebagai pasukan tuan rumah final kali ini, Taki- yuddin menjelaskan, ia telah dipersetujui oleh barisan Exco PBSMM berdasarkan situasi Kedah menjadi tuan rumah final tahun lalu.

"Memang final biasanya diadakan di salah satu venue pasukan yang layak. Tahun lepas, Kedah menjadi tuan rumah kepada Perlis untuk aksi final di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

"Jadi memandangkan Kedah sekali lagi mara ke final, Exco PBSMM telah memilih Kota Bharu sebagai venue final kali ini," ujarnya.

Tiket bagi aksi final Sabtu ini dijual pada harga RM15 (tempat duduk astaka), RM10 (tempat duduk terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Takiyuddin menyatakan bahawa pasukan PBSMM hanya akan menyertai saingan Liga FAM pada musim 2012 kerana mereka belum bersedia untuk menyertainya musim 2011.

"Terus terang saya katakan bahawa faktor kewangan menjadi punca penangguhan ini. Kos semusim sekitar RM500,000 dan kita mungkin akan menyertainya menerusi penggabungan dengan pasukan Unisel," katanya.


"GoMo KeLaTe GoMo...GoMo BeLaKo HoK  Ado"

Rabu, 1 Disember 2010

Piala Malaysia: Kelantan hadiah RM200,000

KOTA BHARU, 1 Dis: Kerajaan Kelantan hari ini meluluskan ‘hadiah’ sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) setelah Red Warriors berjaya membawa pulang Piala Malaysia, baru-baru ini.

Sumbangan itu sebagai memenuhi janji kerajaan negeri sebelum ini terhadap pasukan Kelantan itu yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia setelah 55 tahun menunggu.

Hadiah wang tunai tersebut juga bagi menggantikan hadiah Umrah yang diberi oleh kerajaan negeri tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat kejayaan besar itu perlu diraikan untuk mereka.

“Kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan itu pada Kafa dan terpulang pada Kafa tarikh yang sesuai perlu diadakan untuk diadakan majlis khas.

“Kita cadangkan biarlah ianya diadakan di Kompleks Kota Darulnaim dan kita raikan sama-sama,”ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya bagi meraikan kejayaan Red Warriors juga kerajaan negeri turut melupuskan Cukai Hiburan yang perlu dibayar oleh Kafa kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebanyak RM378,341.11.

Menurutnya, tahun ini kerajaan negeri telah dua kali mengecualikan bayaran itu, iaitu pada bulan April lalu.

Ianya dilakukan sebagai sumbangan terhadap kecemerlangan Kafa dan Red Warriors.
sumber: harakah(berita ini diambil tanpa sebarang edit)





"GoMo KeLaTe GoMo...GoMo BeLaKo HoK Ado"





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PIALA EMAS RAJA-RAJA 2010
Keputusan Pusingan Pertama Suku Akhir Piala Emas Raja-Raja 2010
13 November 2010
Pahang 0-1 Johor - Stadium Darul Makmur.
Kelantan 3-0 Perlis - Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.
Perak 1-2 (Nov 14) Terengganu - Stadium Perak, Ipoh.
MASUM 1-3 Kedah - Stadium UiTM, Shah Alam.

Jadual Pusingan Kedua Suku Akhir Piala Emas Raja-Raja 2010
26 November 2010
Johor 1-1 Pahang - Stadium Larkin, Johor Baharu.
Perlis 2-2 Kelantan- Stadium Kangar,Perlis.
,
Terengganu 5-0 Perak - Stdm Sultan Ismail Nasiruddin Shah, K.Terengganu.
Kedah 5-2 MASUM - Stadium Darul Aman, Alor Setar.
*Semua perlawanan berlangsung 8.45 malam

Jadual Separuh Akhir pusingan Pertama Piala Emas Raja-Raja 2010
30 November 2010
Selasa
Kelantan 3-0 Terengganu- Stadium Sultan Muhammad ke IV
Johor 1-2 Kedah-Stadium Larkin, Johor Baharu.
*Semua perlawanan berlangsung 8.45 malam

Jadual Separuh Akhir pusingan kedua Piala Emas Raja-Raja 2010
6 November 2010
Selasa
Terengganu 0 vs 0 Kelantan- Stdm Sultan Nasarrudin K.Trg.
(kelantan layak dengan agregat 4-0)
Kedah 0 vs 0 Johor-Stadium Darul Aman,Alor Star.
(Kedah layak ke final dengan agregat 2-1)
*Semua perlawanan berlangsung 8.45 malam

Akhir Piala Emas Raja-Raja 2010
11 December 2010
Sabtu
Kelantan 0 VS 0 Kedah
(Kelantan Menang melalui sepakan penanti 4-3)
std.Sultan Muhammad ke-IV
8.45 malam
SIARAN LANGSUNG DI TRWFM:SILA KLIK..
http://trwfmradio.blogspot.com
http://72.20.10.52:8000/listen.pls